Malam itu, Nurul tidak terus tidur kerana mempunyai tugasan kuliah yang harus disiapkan. Hampir jam 1 pagi barulah dia masuk ke bilik tidur, ketika itu Syuhada sedang lena dibuai mimpi. Kepenatan kerana mengikuti latihan bola jaring petang tadi.

Perlahan-lahan Nurul merebahkan tubuhnya ke atas katil. Dia mencapai telefon bimbitnya. Perbualan dengan umminya petang tadi masih diingati. Umminya bersungguh-sungguh mahukan dirinya agar segera bertemu jodoh.

Nurul tahu, dalam umurnya yang begini, dia tidak seharusnya mengabaikan soal jodoh. Tetapi, dia tidak mampu untuk melangkah lebih dari itu. Dia hanya seorang wanita yang menunggu lamaran seorang lelaki. Nurul mula mengelamun jauh.

“Kalau Nurul nak tahu, orang yang berjaya menambat cinta hati Khadijah adalah insan yang bernama Muhammad saw selepas ramai pembesar Quraisy yang kaya-raya melamar Khadijah. Beliau tidak langsung melihat kemiskinan harta pada Muhammad, tetapi tertarik dengan budi pekerti baginda” Masih terngiang-ngiang lagi tazkirah Ustazah Ruqayyah ketika mengikuti usrah suatu masa dahulu. Seerah tentang Saidatina Khadijah tidak pernah lekang dari pengisian usrahnya.

Ah, Khadijah itu sungguh mulia pekertinya. Masakan beliau menjadi wanita kesayangan Rasul seumur hidup baginda. Sungguh ajaib, sepanjang perjalanan hidup baginda, Nabi saw tidak pernah mengahwini mana-mana wanita sampailah kewafatan Saidatina Khadijah, sungguh agung sekali cinta Khadijah kepada ar-Rasul. Kesetiaan Nabi saw terhadapnya terlalu istimewa.

Sehinggakan Saidatina Aisyah sendiri mengakui rasa cemburunya terhadap Khadijah. Ummu al-Qasim al-Khuwailid itu terlalu mulia cintanya disamping Nabi saw juga disisi penciptanya, ALLAH azzawajalla. Pernah suatu ketika, Malaikat Jibril menyampaikan salam daripada Tuhan kepada Khadijah. Mulus sekali cinta Khadijah. Menjadi cinta Nabi di dunia dan sebutan dilangit oleh para malaikat serta Tuhannya.

Nurul tersenyum sendiri mengingati seerah kekasih agung itu. Serikandi ummah yang masih disebut-sebut jasanya hingga kini. Dia selayaknya bergelar Ummul Mukminin.

Sungguh berbeza sekali pekerti Khadijah berbanding isteri-isteri baginda yang lain. Nabi saw tidak pernah berasa marah kepada isterinya ketika hanya mempunyai seorang sahaja isteri iaitu Khadijah. Hanya setelah mempunyai ramai isteri, dan melalui kerenah yang pelbagai kadangkala membuatkan Baginda marah.

Demikianlah insan yang bernama Saidatina Khadijah.

Dalam diam, Nurul juga mencemburui wanita agung itu. Qudwahnya tidak dapat menandingi mana-mana wanita termasuklah isteri-isteri Nabi yang pernah dikahwini.

Sayangnya baginda terhadap Khadijah sehingga pusaranya antara yang terawal dibina oleh Nabi saw untuknya. Sehingga Nabi terasa suatu kehilangan yang paling besar selepas kewafatan Khadijah.

Nurul membaiki tubuhnya. Mengalihkan baringannya ke kiri, mencari keselesaan. Entah kenapa malam itu dia seakan terpukau dengan keagungan serikandi itu. Impiannya suatu hari nanti, kalaupun dia tidak mampu menjadi semulia pekerti Khadijah, cukuplah sekadar dia menyambung warisan perjuangan yang pernah diwarisi oleh serikandi itu. Nurul bangga, dia mahu diakhirat nanti ‘Khadijah’ tahu bahawa dia juga salah seorang yang menjad mata rantai perjuangannya di dunia.

Nurul mula menanamkan tekad di dalam hatinya. Dalam kesejukkan malam itu, Nurul terlelap dibuai asyiknya kecintaan kepada Saidatina Khadijah.
_____________________________________

“Ana tak boleh menerima lamaran ukhti,” Kata-kata Rizal itu menusuk tajam ke hatinya. Suasana suram menyelubungi mereka petang itu. Pertemuan dua mata kali ini telah memusnahkan harapan besar yang diharapkan selama ini. Nurul terdiam seribu bahasa.

Rizal langsung tidak menoleh ke arah Nurul.

“Berikan ana satu peluang ini, Ustaz Rizal,”

“Tidak Ukhti,” Pantas Rizal mencantas tutur Nurul.

“Ukhti tak akan memahami perjuangan ana. Medan ini terlalu sukar untuk ukhti lalui,” Ujar Rizal. Terlalu berat untuk dia melafazkan kata putus itu kepada Nurul, sahabat yang selama ini menjadi teman baiknya.

“Tapi kenapa? Ana akan buktikan pada Ustaz, bahawa ana sanggup bersusah demi perjuangan kita. Berilah ana peluang untuk membuktikannya,” rayu Nurul. Suaranya mula mendatar sambil menahan sebak. Orang yang dicintai selama ini telah menolak lamarannya.

“Ah, perempuan akan melambatkan urusan perjuangan ini,” tersentak Nurul dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Rizal. Rizal tidak sepatutnya menghukumnya begitu. Adakah Rizal sudah melupai perjuangan mereka sepanjang 4 tahun di kampus suatu masa dahulu? Nurul tidak pernah mengenali erti penat lelah demi melihat persatuan yang menaungi seluruh pelajar Islam itu bangun dengan gemilang. Siang dan malam dia menyerahkan seluruh komitmennya untuk membantu Rizal. Akhirnya, Rizal menghukumnya begini.

Menolak cintanya disaat dia memerlukan sesorang di sisinya.

“Ustaz Rizal, ana merayu,” kali ini, air mata Nurul berjuraian tumpah di pipinya. Syuhada memeluk erat tubuh Nurul yang semakin lemah.

“Tidak Ukhti. Kita harus berpisah,” Rizal memalingkan wajahnya. Sekilas dia mengerling ke arah Nurul. Tidak mengendahkan Nurul yang sedang teresak-esak menahan tangisan.

“Tapi…”

“Tapi apa lagi ukhti? kita memang tiada jodoh,” mudah sekali Rizal melafazkan ungkapan itu. Egonya tinggi sekali. Seolah-olah tiada lagi ruang untuk Nurul menagih simpati dan meraih baki-baki cinta daripada Rizal.

Terasa tubuh Nurul semakin lemah longlai. Dia kehilangan sesuatu yang paling berharga dalam hidupnya. Seorang lelaki yang diharapkan mampu melandasi perjuangannya telah membuangnya dari kotak kehidupan. Dia hampir tidak mampu menerima kenyataan itu. Siapalah dia, cuma seorang wanita yang hanya mengisi kekosongan cinta dari seorang yang bernama 'Adam'.

Kehilangan seorang teman dalam berjuangan bererti dia telah kehilangan sebuah kehidupan yang diimpikan selama ini.

“Maafkan ana, jika sepanjang perkenalan ini ada mengguriskan perasaan ukhti,” pantas Rizal menuturkan kata akhir. Ya, Rizal sudah bertekad untuk menolak lamaran itu. Entah mengapa dia sudah berubah sikap. Perjuangannya lebih penting dari segala-galanya.

“Ustaz Rizal…” perlahan suara Nurul cuba bertutur. Masih bercampur dengan sendu tangisannya. Rizal diam seribu bahasa.

“Ana sungguh bertuah kita pernah ditakdirkan bertemu. Ustaz banyak mengajar ana apakah erti perjuangan sebenar. Ana telah banyak belajar makna kehidupan sepanjang pertemuan kita. Ana selalu berharap agar pertemuan ini diakhiri dengan ikatan yang lebih jauh,” luah Nurul. Hasrat hatinya yang terpendam dihamburkan semuanya. Biar Rizal tahu bahawa dia benar-benar cintakan lelaki itu.

“Berdosakah ana kerana ingin melamar seorang lelaki yang berjuang dilandasan yang sama?” soal Nurul.

Sepi.

“Sesungguhnya hati ini telah lama tertutup untuk sesiapa sahaja,” Nurul menoktahkan kata-katanya. Masih berharap agar pertemuan petang itu dapat mengembalikan impian hidupnya.

“Maafkan ana ukhti,” Dari jauh Rizal menatap dalam-dalam wajah Nurul. Raut wanita itu sungguh tulus, ikhlas mengharapkan sebuah cinta.

Susasan sepi seketika. Masing-masing mendiamkan diri.

“Jika inilah yang ditakdirkan ALLAH, ana redha,” akhirnya Nurul pasrah dengan keputusan Rizal. Dengan perasaan kecewa dia menerima ketentuan itu dengan hati terbuka. Rizal tidak akan menjadi miliknya buat selamanya

“Selamat tinggal Ukhti,” Rizal menoktahkan bicara, melangkahkan kaki meninggalkan Nurul dan Syuhada.

‘Selamat tinggal Rizal, ketahuilah aku amat mencintai mu’ bisik hati kecilnya.

..................................

“Ya ALLAH, astaghfirullahal a’zim. Mimpi rupanya,” Nurul mengucap panjang. Mimpi tadi amat menakutkannya. Dalam tak sedar, rupanya dia juga sedang menangis. Fikirannya kacau ketika itu, terbayang-bayang jika mimpi itu bakal menjadi tragedi hitam dalam hidupnya.

Wajah Rizal silih berganti. Kalau diikutkan hatinya, dia mahu segera bertemu dengan Rizal. Ingin meluahkan segala isi hatinya. Dia beristighfar lagi. Memohon agar Tuhan memberi ketenangan ke dalam hatinya.

Subuh yang hening itu, dia menangis sepuas-puasnya. Azan subuh mengiringi sendunya.

bersambung...

4 Responses so far.

  1. siter ni best sgt..waiting for the ending..

  2. astaghfirullah'azim.....terkejut den...ingatkan betul2...mimpi upenyer ..huhu

  3. smakin mendebarkan cerpen ni. Ingatkan betul2 rupenya mimpi, nsib baik

  4. sambung cepat ustaz, tak sbar nk bce episod sterusnya