PAYAHNYA BERSAHUR

                Ketika bersahur itu menjadi penguat kepada mereka yang berpuasa, ramai yang kurang mengambil endah terhadap sunnah kecil itu, akibatnya belumpun sampai separuh hari berpuasa sudah ada yang merungut lapar, letih serta dahaga. Agaknya, mereka tidak perasan atau sedar bahawa Nabi saw telahpun berpesan: ‘Bersahurlah kamu!, kerana di situ mempunyai barokah’

                Setiap pesan Nabi saw itu ada terdapat implikasi dan aplikasinya terhadap rutin harian dalam kehidupan. Berpuasa bukanlah sekadar menahan perut daripada makan atau minum, jauh dari sudut itu adalah bagaimana kita mengejar kesempurnaan dalam mengerjakan ibadat tersebut. Ya, dalam semua perkara kita mahukan yang perfect, mengapa pada puasa kita tidak mahu berlumba dan berusaha ke arah yang terbaik?

                Walaupun jika anda tidak bersahur itu tidaklah membatalkan puasa anda, namun tanpa sedar ia sudah mengurangkan salah satu objektif berpuasa, iaitu bangun di awal pagi dengan tujuan beribadah. Maksud Nabi saw pada perkataan barokah  bukanlah semata-mata pada makan sahur tetapi juga pada ibadat yang lain sebelum bersahur seperti bertahajud, bertadarus dan sebagainya.

                Di zaman sahabat dahulu, walaupun hidangan bersahur sekadar buah tamar (kurma) dan segelas susu, mereka tidak pernah meninggalkannya, pada mereka bersahur bukanlah kerana nanti tidak tahan menanggung lapar di siang hari, tetapi mereka mengamalkannya untuk mengejar barokah yang telah Nabi saw pesankan. Sungguh berbeza di zaman sekarang, kalaupun dihidangkan dengan sehebat manapun makanan, jika rasa mengantuk sudah menguasai, ‘say good bye’ saja pada makanan tersebut, yang penting hajat mata harus didahulukan.

0 Responses so far.