KISAH 1
“Kita nak ke mana ni, abang?” soal Siti kehairanan. Sedari tadi dia
tidak tahu arah tuju pemanduannya.
“Ada la, Siti terus je, kemudian masuk ke kiri, lepas traffic-light
Siti masuk ke lorong kanan” Arah Azman kepada isterinya. Sesekali dia
menoleh ke arah isterinya yang sedang memandu sambil mengukir senyum kecil.
Sambil memerhatikan selekoh, Siti
memperlahankan sedikit kereta apabila melalui kawasan orang ramai yang sedang
menunggu bas, bimbang terlajak ke selekoh yang lain. Dia perasan, orang ramai
yang sedang menunggu bas memandang ke arah mereka. Siti tidak menghiraukan
reaksi itu, mencari selekoh adalah yang lebih utama.
Azman juga perasan akan situasi
itu, tapi dia hanya tersenyum. Dia sudah lali dengan tanggapan orang. Dia tidak
peduli semua itu. Bahagia yang ada padanya sekarang bukan diambil atau ‘dibeli’
daripada orang lain, dia yang binanya sendiri. Sekalipun apa yang digapai
sekarang berlainan daripada rutin, itu
bukan sebab untuknya merasa kekok atau malu.
“Ini ke lorongnya, abang?” ujar isterinya menyedarkan daripada lamunan
seketika.
“Aaaaa? Apa dia sayang?”
“Abang berangan ye? Fikir apa tu?” soal Siti melihat Azman
terpinga-pinga.
“Abang rasa, semua orang kat luar tengah tengok kita. Macam tengok hantu!”
seloroh Azman.
“Kenapa, abang?”
“Mana ada pasangan macam kita, isteri jadi driver, suami jadi cheff!”
Mereka berdua serentak ketawa. Mata
mereka saling bertentang, sambil hati terdetik:
‘Asalkan kami bahagia!’
KISAH 2
“Abang. Bawang ni nak potong halus-halus ke?” Tanya Siti, tangannya
memegang 3 ulas bawang merah yang sudah dikupas kulitnya.
“Bawang ni Siti potong besar-besar je sebab abang nak bland,” arah
Azman sambil sibuk mengacau kuah Gulai Lemak Cili Api di atas dapur.
“Lagi, abang?”
“Udang tu Siti buangkan kepalanya je, Kailan pula ambil daunnya,
batangnya ambil yang lembut-lembut, yang keras buang,” ujar Azman. Siti
pantas menyiapkan bahan-bahan yang diminta oleh Azman.
“Baunya mengancamlam, bang. Tak sia-sia abang kahwin dengan Siti. Kalau
Siti kahwin dengan orang lain, setiap hari makan di restoranlah jawabnya,” Siti
berseloroh, menghidupkan suasana sunyi di dapur. Azman dari jauh tergelak
kecil.
“Áda-ada aje isteri abang ni,”
Mereka baru saja melangsungkan
pernikahan, 3 bulan lalu mereka Cuma sepasang kekasih seperti orang lain. Mereka
sudah berjanji, apapun yang berlaku dalam perkahwinan nanti, mereka harus
melaluinya bersama.
Ternyata ia meleset, mereka
menyangka kelainan yang bakal mereka lalui itu akan menyusahkan namun lain pula
yang berlaku, mereka lebih bahagia berbanding pasangan-pasangan yang lain,
Azman selesa bertugas di dapur dan Siti pula seronok menjadi pemandu kereta.
Ah, gila bukan? Tak mengapa, gila
tapi tak berdosa.
“Orait lauk semua dah siap, jom kita makan!’ laung Azman dari
dapur.
“Abang!!” ujar Siti cemas.
“Kenapa sayang?” balas Azman
cuak.
“Nasi belum masak lagiiiii…”
Pecah keheningan dapur dengan
hila-tawa mereka. Tengahari itu, mereka menyudahkan makan tengahari yang
sepatutnya telah berstatus minum petang. Pelik!
‘Asalkan kenyang!’
‘Asalkan bahagia!’
TIDAK KIRA APA JUA CARANYA
Kadangkala, bulan harus menjadi
matahari yang memancarkan cahaya di malam hari tanpa mengganggu tugas si
matahari. Adakalanya, angin harus menjadi awan yang menyejukkan bumi tanpa
menggangu tugas si hujan.
Kita ada tugas tersendiri, namun
adakalanya memaksa kita melakukan tugas orang lain demi kemaslahatan. Masing-masing
mahu mencari kebahagiaan, apa salahnya kita bekerjasama?
Dunia memang dipenuhi dengan pelbagai
kehairanan dan kepelikkan, selagi tidak melanggar Sunnatullah dan garisan dosa
pahala, ia tidak menjadi kesalahan.
Menteri mesti menjadi rakyat bila
perlu,
Ayah boleh menjadi keanak-anakan,
Pelepah kelapa boleh menjadi
bumbung,
Buluh boleh menjadi tiang atau
rakit,
Kereta boleh mengambil alih tugas
bas,
Sudu boleh menjadi pisau,
Suami boleh lakukan tugas isteri,
Isteri boleh buat kerja suami,
Tanpa mengganggu sesiapa, kita boleh
menjadi apa saja, asalkan untuk bahagia!
Suami mesti akan seronok jika
mempunyai isteri yang selalu pergi ke kedai untuk mencari barang keperluan
dapur sendiri dan mengambil anak-anak pulang dari sekolah bila tiba waktu
petang.
Isteri juga gembira jika memiliki
seorang suami yang suka mengemas rumah apabila tiba hujung minggu, mencuci dan
melipat kain baju.
Alangkah bertuahnya seorang bos
yang memiliki pekerja yang berjiwa bos, ketika ketiadaan bos dia mampu
menjalankan tugas seperti seorang bos.
Alangkah baiknya jika kita
mempunyai seorang adik perempuan yang penyayang seperti seorang kakak. Ketika kita
mengidam kek coklat, dialah yang bersusah payah membuatnya untuk menunaikan
hajat kita.
Paling-paling tidak, pertukaran
dan kepelikkan ini menghasilkan kebaikkan dan tidak menyusahkanpun.
Di Negara arab, jika ada pasangan
suami isteri yang jalan beriringan untuk ke mana-mana, suami yang akan
mendukung anak bukannya isteri. Memang pelik, tetapi itulah cara mereka mengusahakan
kebahagiaan.
Formulanya begini:
A takkan menjadi E, tetapi sesekali
A boleh bekerja sebagai E tanpa mengganggu tugas O.
Betul ke?
Ada orang sebut ‘kenapA’, ada orang sebut ‘kenapE’, dan ada yang menyebut ‘kenapO’.
(",)
_______________________________________
_______________________________________
Nota Kehidupan (1): Sejak menikahi gadis Terengganu, saya sudah
merasakan yang Negeri Keropok Lekor itu seperti dekat, orangnya pula dekat di
hati.
Nota Kehidupan (2): Ramai orang menyangka untuk melakukan
sesuatu harus dimulakan dengan PERSEDIAAN, oleh kerana ramai yang memandang
persediaan sebagai ‘nyawa’ sesuatu perkara, lalu mereka takut mencuba atas alasan
belum bersedia. Sebenarnya, jika nak buat sesuatu hanya perlu dimulakan dengan
TINDAKAN, persediaan akan datang kemudian secara automatik!
Kahwin dulu, nanti kita akan termatang secara paksa!
['Kalau Tuhan yang dicari, hidup akan lebih dihargai, usah jemu memberi']
Blog Kehidupan
UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT